top of page

SUKOL 4 USIM serlahkan bakat pelajar

 

OLEH NURAFIQAH BTE SALEHUDDIN

 

USIM, 30 Mac 2014 – Karnival Sukan antara Kolej-kolej kediaman kali ke-4 (SUKOL 4) telah melabuhkan tirainya  dengan menyaksikan  Kolej Kediaman Satu B (KK1B) muncul johan keseluruhan bagi kejohanan sukan tersebut.

 

 

Majlis perasmian penutup SUKOL 4 yang telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (HEP & Alumni) USIM, YBhg. Prof Dato’ Dr Mohamed Asin Dollah bertempat di Kompleks Sukan Tunku Najihah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang lalu.

 

Dalam ucapannya, beliau berasa gembira kerana panganjuran SUKOL 4 pada kali ini merupakan tahun yang paling meriah berbanding sebelumnya. Selain itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat serta meluahkan rasa kagum terhadap semua pelajar termasuk pelajar antarabangsa yang turut terlibat dalam perlawanan akhir bola sepak antara KKAA dan KKDJ.

 

Tambah beliau lagi,“Saya berharap pengarah Pusat Sukan dapat menilai bakat-bakat pelajar melalui sukan kolej kediaman ini untuk mencungkil dan memilih mereka untuk dipertandingkan dalam sukan MASUM akan datang,”Setelah selesai acara perasmian, majlis diteruskan pula dengan acara kemuncak iaitu acara penyampaian hadiah kepada para pemenang serta perbarisan kontinjen terbaik yang dimenangi oleh Kolej Kediaman Pandan (KKP).

 

 

Menurut Mohd Syamil Azizi, pengerusi jawatankuasa Kebajikan Siswa Siswi Asrama (JAKSA) Kolej Kediaman Satu (KK1), 21,  ketika ditemubual menyatakan kesyukurannya di atas kemenangan pada kali ini. Beliau yang pada awalnya terkejut apabila KK1 diumumkan sebagai juara.

 

“Walaupun pada kali ini kami (KK1) terbahagi kepada dua kumpulan iaitu KK1A dan KK1B namun kami tetap bersatu dan menanamkan semangat sebagai satu pasukan dibawah KK1,” katanya.

 

Pada kali ini sebanyak lapan acara sukan telah dipertandingkan, iaitu acara bola sepak, bola jaring, bola tampar, futsal, pingpong berpasukan campuran, catur, sepak takraw dan olahraga (lumba lari & lompat jauh) di mana penyertaan terdiri daripada enam buah kolej kediaman iaitu Kole Kediaman 1, Acacia Avenue, Desa Jati, Sutera Indah, Nilam Court, dan Pandan Indah.

 

Buat pertama kalinya, KKAA yang merupakan tuan rumah SUKOL pada kali ini mempertandingkan satu acara baru iaitu acara tarik tali kategori lelaki dan sekaligus menjadikan sembilan jumlah acara keseluruhannya.

 

Majlis berakhir dengan penyerahan dan pertukaran bendera SUKOL daripada KKAA kepada pihak panganjur tahun hadapan iaitu Kolej Kediaman Sutera Indah (KKSI).

© 2023 by Tomorrow. Proudly created with Wix.com     >>>     Call us: 123-456-7890      >>>     Follow us:

  • Facebook Basic
  • Twitter Basic
  • YouTube Basic
  • Google+ Basic
  • LinkedIn Basic
bottom of page