COMMPRESS ONLINE
COMMITTED, CONCISE, CONVINCE
KKAA muncul juara perlawanan bola sepak SUKOL 2014
OLEH MOHAMMAD SAFIUDDIN ADAM
NILAI - Kolej Kediaman Acacia Avenue (KKAA) muncul serta mempertahan kejuaraannya pada perlawanan bola sepak Sukan Kolej (SUKOL) selepas mengalahkan Kolej Kediaman Desa Jati (KKDJ) 2-1 di Kompleks Sukan Tunku Najihah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), ahad petang lalu.
Jaringan pertama pasukan KKAA disumbangkan oleh Musa Saho pada separuh masa pertama. Jaringan itu berpunca apabila penyerang KKAA, Musa terlepas daripada kawalan tunggak pertahanan KKDJ, Mursyid Junaidi dalam kotak penalti lalu merembat terus ke gawang gol.
Tersentak dengan gol tersebut, KKDJ mula mengatur rentak lebih kemas dan mengawal perlawanan pada separuh masa pertama perlawanan bagi mencari gol penyamaan. Bagaimanapun, beberapa peluang yang terhidang gagal diterjemahkan dengan baik.
Pada aksi itu, rentak permainan seimbang ditunjukkan kedua-dua pasukan sepanjang babak pertama berlangsung dikuasai KKAA manakala pada separuh masa kedua pula lebih banyak dikuasai oleh KKDJ.
KKAA menerima tamparan apabila tonggak pertahanan kanan, Muhammad Hilmi Shahiran bin Mohd Safikie terpaksa dikeluarkan apabila mengalami kecederaan di bahagian lutut selepas bertembung dengan penyerang KKDJ, Mohd Taufik pada separuh masa kedua.

Perlawanan terpaksa dihentikan seketika akibat hujan lebat dan angin kuat, kemudian pelawanan diteruskan semula dengan keadaan padang yang basah dan berlecah. Walaupun permukaan padang sedikit becak akibat hujan, namun tidak mematahkan semangat permain KKDJ dan hasilnya mereka memperolehi jaringan penyamaan menerusi Mohd Azreen ketika perlawanan berbaki 10 minit lagi.
Ketika separuh masa kedua tambahan gol kemenangan KKAA hadir menerusi penyerang utama mereka Mutar Toray, sekali gus memusnahkan harapan KKDJ untuk merangkul ibu emas SUKOL kali ke-4.

Walaupun hujan renyai kedua-dua penyokong tetap setia menunggu hingga wisel penamat dibunyikan. Kegembiraan terpancar di wajah penyokong KKAA apabila kumpulan bola sepak mereka dapat memenangi perlawanan ini.
Perlawanan bola sepak kali ini turut diserikan lagi dengan kehadiran YBhg. Profesor Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Ketua Pengarah Pusat Sukan Encik Hamran Husin.
