top of page

Pemanasan global peringatan kepada manusia

 

OLEH NUR SYAFIQAH BTE ABD SAMAT

 

Berikutan kejadian pemanasan global atau pemanasan sejagat yang berlaku beberapa minggu sebelum ini, Malaysia telah dilanda kemarau dan masalah jerebu yang begitu dahsyat seterusnya menjejaskan sumber air negara.

 

Pemanasan global merupakan satu fenomena pemerangkapan gas yang dikenali sebagai gas rumah hijau yang mana kumpulan gas ini menghalang dan memerangkap haba bumi daripada terbebas keluar ke angkasa. Sifat kumpulan gas ini ialah membenarkan bahang matahari menembusinya tetapi menghalang pembebasan semula bahang bumi ke atmosfera. Contoh gas rumah hijau ialah karbon dioksida, karbon monoksida, kloroflorokarbon (CFC), metana, nitrogen oksida dan lain-lain. Kebiasaannya, fenomena pemanasan global ini dapat dirasai dengan lebih jelas di kawasan kutub utara dan selatan, kawasan pembangunan perindustrian, kawasan perbandaran dan banyak lagi tempat di dunia.

 

 

Mungkin kita tertanya-tanya kenapa dan mengapa perkara sedemikian berlaku di negara kita? Menurut kajian saintifik, antara punca berlakunya pemanasan global adalah aktiviti perindustrian. Aktiviti perindustrian ini merupakan punca utama kepada fenomena pemanasan global. Pembakaran bahan api fosil seperti gas dan arang batu bagi menggerakkan mesin dan jentera telah mengeluarkan banyak gas rumah hijau terutamanya gas karbon dioksida.

 

Semakin banyak gas karbon dioksida dihasilkan, semakin banyak haba yang dan terperangkap oleh lapisan gas lalu meningkatkan suhu udara secara global. Namun begitu, menurut perspektif islam, ianya telah lama terjawab sebagaimana dirakamkan dalam al-quran, yang bermaksud “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala' bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali insaf dan bertaubat” ( Surah Ar-rum ayat - 41).

 

 

Satu perkara yang harus diketahui oleh kita semua adalah segala kejadian pemanasan global ini adalah hasil daripada tingkah laku manusia itu sendiri. Walaupun tidak dapat dinafikan, bahawa ianya secara semulajadi berlaku atas sebab pemanasan global namun, peranan manusia yang mempercepat dan memperhebatkan masalah ini tidak dapat disangkal lagi, sedangkan di dalam al-quran, manusia telah beberapa kali diperingatkan untuk tidak melakukan kerosakan ke atas muka bumi ini kerana perbuatan itu dibenci Allah SWT dan hanya merugikan kita.

 

Berikut merupakan salah satu hadith tentang bala dan puncanya, daripada Ali bin Abi Talib r.a . Rasulullah s.a.w bersabda, “ Apabila umat ku telah membuat lima belas perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka antaranya, iaitu apabila harta Negara hanya beredar pada orang-orang tertentu (orang yang melakukan maksiat), apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan, zakat dijadikan hutang, anak derhaka terhadap ibunya,” dan beberapa faktor-faktor lain. Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi ataupun mereka akan diubah menjadi makhluk lain, (Hadis Riwayat Tarmizi).Kita sering mendengar dan sedar akan kejadian pemanasan global dan bencana alam yang berlaku satu demi satu, namun adakah kita sedar bahawa penyakit berjangkit, gejala sosial, banjir dan kemalangan di sana sini juga antara bala yang Allah turunkan sebagai amaran kepada kita yang semakin jauh dari landasan islam. Firman Allah s.w.t yang bermaksud, “Maka tidak seorang pun dari kamu yang dapat menghalangi (kami untuk menghukumnya).”Hari demi hari dunia semakin sibuk dengan permainan manusia, sedangkan kita tidak punya waktu untuk berpangku tangan kerana sasaran setiap yang berlaku bukan sahaja kepada individu tertentu yang telah melakukan kerosakan dan maksiat dimuka bumi ini malah, termasuk makhluk-makhluk lain yang tidak berdosa turut sama merasai. Bumi juga turut merasa penat dengan perbuatan dan permainan manusia yang melakukan maksiat, sehinggakan tidak sanggup lagi menanggungnya maka dimuntahkan dengan cara berlakunya pelbagai bencana alam. Setiap kemungkinan yang kita ragui kekadang berlaku, namun untuk menghadapi kemungkinan tersebut perlulah kita membuat persiapan dan persediaan yang rapi.

 

 

Sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud, “Dan tidak mereka menyiksa melainkan kerana mereka beriman kepada Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Terpuji ” (Surah Al-Buruj ayat 8). Oleh itu, masalah pemanasan global ini seharusnya menjadi satu ingatan kepada kita bahawa satu perubahan gaya hidup perlu dilakukan demi menghadapi perkara ini dan peringatan sedemikian telah dilakukan oleh banyak pihak. Namun, semakin hari manusia menjadi semakin alpa dengan kepelbagaian ciptaan untuk memudahkan hidupnya tetapi kemudahan tersebut memberi kesan yang tidak baik kepada alam dan hidupan lain.Secara keseluruhannya, peringatan yang cuba disampaikan oleh alam ini boleh berada di dalam bentuk yang sekecil-kecilnya kepada bentuk yang sebesar-besarnya. Walaubagaimanapun, apabila alam bertindak dengan keras, manusia tidak akan dapat menyelamatkan dirinya dan setiap perkara yang berlaku ada hikmah yang Allah ingin sampaikan dan terus tegur kepada hambanya.

FOTO oleh Kosmo Online

© 2023 by Tomorrow. Proudly created with Wix.com     >>>     Call us: 123-456-7890      >>>     Follow us:

  • Facebook Basic
  • Twitter Basic
  • YouTube Basic
  • Google+ Basic
  • LinkedIn Basic
bottom of page