COMMPRESS ONLINE
COMMITTED, CONCISE, CONVINCE
JPJ serius tangani kes kemalangan bas
OLEH NURAZILAH BTE RAZALI
Tindakan serius pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) harus dipuji dalam menangani kes kemalangan yang melibatkan bas ekspres. Saya turut merasai pengalaman ini apabila bas yang saya naiki bersama rakan-rakan dan pensyarah dalam satu rombongan turut ditahan semasa operasi yang dijalankan di Plaza Tol Nilai, Lebuhraya PLUS hari ini.


Perkara ini bertujuan memastikan pemandu bebas daripada pengaruh dadah.Selain itu, anggota JPJ juga turut mengambil tindakan di luar jangkaan kita apabila mereka sanggup untuk menyamar sebagai penumpang bas ekspres bagi merekodkan kesalahan pemandu sepanjang perjalanan sekaligus mengeluarkan saman bagi mereka yang melakukan kesalahan. Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, perkara ini akan berkuatkuasa serta-merta.
Tindakan ini membuatkan penumpang berasa keselamatan mereka lebih terjamin.Saya turut berasa kagum apabila Datuk Aziz menegaskan bahawa nombor kenderaan bas dan nombor talian aduan akan diletakkan di setiap tempat duduk penumpang bagi memudahkan mereka membuat aduan serta-merta sekiranya mendapati pemandu melanggar peraturan. Melalui tindakan ini, penumpang akan lebih jelas kepada siapa harus mereka hubungi untuk membuat aduan. Jelaslah di sini bahawa usaha menangani kes kemalangan yang melibatkan bas ekspres dipandang serius oleh pelbagai pihak terutamanya JPJ. Kita harus berterima kasih dan bersyukur kerana kerajaan sering prihatin dengan setiap permasalahan yang melibatkan keselamatan rakyat.
Dalam operasi itu, pemeriksaan yang dijalankan melibatkan bas, pemandu dan pemeriksaan dokumen-dokumen yang berkaitan seperti lesen, cukai jalan dan sebagainya. Pihak JPJ memeriksa bahagian-bahagian di dalam bas seperti pintu kecemasan dan peti kecemasan bagi memastikan tiada sebarang bahan terlarang yang disimpan seperti dadah. Menurut laporan BH semalam, JPJ akan menguatkuasakan peraturan baru di mana pemandu bas ekspres wajib menjalani ujian air kencing sebelum memulakan perjalanan.

