COMMPRESS ONLINE
COMMITTED, CONCISE, CONVINCE
IMPACT: Medan Pelajar Komunikasi
Oleh: Nur Rita Mohamed Aseri
USM - IMPACT (Immersion Project, Appreciation and Tribute) merupakan satu medan bagi pelajar-pelajar sama ada yang mengambil jurusan komunikasi ataupun selain daripadanya menonjolkan bakat yang terpendam dalam diri seseorang pelajar.
Baru-baru ini, IMPACT 2014 kali ke-7 telah diadakan di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang yang berlangsung selama tiga hari bermula hari Jumaat sehingga hari Ahad. Program IMPACT ini dianjurkan oleh Pusat Pengajian Komunikasi, USM dan dikendalikan oleh pelajar tahun dua jurusan komunikasi.
Menurut Mohamed Afiq Amani, 22, Pengarah Program IMPACT 2014, IMPACT pada kali ini memberi kelainan yang mana mereka menjemput universiti-universiti tempatan dan juga antarabangsa. Sebelum ini, IMPACT hanya diadakan di peringkat universiti sahaja. Justeru itu, dengan adanya penyertaan daripada universiti antarabangsa, IMPACT tampak lebih meriah. Secara khususnya, IMPACT 2014 bertujuan menyediakan satu medan kepada penuntut tahun akhir mempamerkan hasil produk mereka menerusi program seperti ini.

IMPACT 2014 juga memberi peluang kepada wakil-wakil universiti dalam mempromosikan universiti mereka serta mempamerkan produk-produk yang berkaitan dengan komunikasi. Pada masa yang sama, hubungan akademik dan hubungan masyarakat dengan universiti tempatan dan antarabangsa serta organisasi lain terjalin. Antara universiti-universiti luar yang turut serta dalam program ini ialah, Universiti Tamunagara, Jakarta, dan Universiti Sains Islam Malaysia.
“Kami menyediakan tapak pameran bagi universiti-universiti untuk mempamerkan produk-prodk mereka sepanjang berlangsungnya IMPACT ini dengan tujuan agar pengunjung-pengunjung yang hadir boleh melihat produk-produk keluaran pelajar komunikasi itu sendiri,” jelas Mohamed Afiq Amani, 22.
Pelbagai pertandingan dijalankan sempena IMPACT kali ini yang mana pemenang-pemenang membawa pulang hadiah berupa wang tunai dan sijil penyertaan. Antara pertandingan tersebut ialah pengacaraan (Kategori Pelajar Sekolah Menengah dan IPTA/ IPTS), Public Service Announcement (PSA)/ (CSA) dan Pertandingan Produk Pelajar tahun Akhir. Selain itu, pertandingan menulis cerpen juga diadakan yang mana IMPACT sebelumnya tidak menawarkan pertandingan ini. Pertandingan pengacaraan yang diadakan bukan sahaja disertai oleh pelajar jurusan komunikasi, bahkan pelajar daripada jurusan sains kimia juga turut serta bertanding. Ini menunjukkan bahawa bidang komunikasi adalah satu bidang yang luas yang mana sesiapa sahaja boleh menonjolkan bakat-bakat yang terpendam.


Disamping itu, bukan sahaja pertandingan diadakan, bahkan terdapat pelbagai aktiviti yang telah dijalankan sepanjang tiga hari IMPACT berlangsung. Pada sesi petang hari pertama IMPACT 23 Mei, sesi interaktif bersama personaliti media iaitu Ahmad Fedtri Yahya dan Kudsia Kahar dijemput sebagai panel jemputan seterusnya menjadi juri dalam pertandingan pengacaraan. Pada hari seterusnya, IMPACT menganjurkan forum interaksi bersama alumni dan juga eksplorasi yang mana disertai oleh wakil-wakil daripada universiti yang terlibat dalam IMPACT kali ini. Stesen radio luar juga turut hadir memeriahkan IMPACT 2014 seperti Suria Fm.
Majlis Perasmian IMPACT 2014 disempurnakan oleh Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia. IMPACT 2014 berakhir pada 25 Mei yang lalu.
