COMMPRESS ONLINE
COMMITTED, CONCISE, CONVINCE
Iftar Jamaie dan Solat Hajat Perdana FPBU
OLEH NUR RITA MOHAMED ASERI
NILAI - Untuk pertama kali, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) mengadakan majlis iftar jamaie dan solat hajat perdana yang melibatkan semua pensyarah, kakitangan dan pelajar dengan kerjasama fakulti dan Nadi Thaqofah.
Sebelum ini, pihak Nadi Thaqofah pernah mengadakan satu majlis seperti ini. Namun, ia tidak melibatkan pensyarah dan dekan fakulti ini sendiri. Menurut dekan fakulti, Dr. Noor Azizi Ismail, majlis iftar jamaie dan solat hajat perdana ini diadakan berdasarkan beberapa sebab. “Tujuan kita adakan majlis seperti ini kerana semestinya untuk memohon supaya dikurniakan kejayaan di dunia dan di akhirat untuk pelajar, fakulti dan USIM sendiri.
Dr. Azizi juga menjelaskan solat hajat ini juga diadakan untuk memohon agar pihak berkuasa Malaysia dipermudahkan dalam usaha mencari pesawat MH370 yang masih menjadi tanda tanya. Majlis dimulakan dengan iftar jamaie dan diikuti dengan solat Maghrib yang diimamkan oleh Dr. Ayyad, Pensyarah FPBU. Seterusnya solat sunat hajat dan diakhiri dengan solat Isya’ yang diimamkan oleh Dr. ZainurRijal yang juga Pensyarah FPBU.

Sebelum majlis diakhiri dengan solat isya’, Dr. Noor Azizi Ismail menyambung ucapannya. Dalam ucapan tersebut, beliau menasihati pelajar supaya memanfatkan masa selama empat tahun pengajian di USIM dengan sebaiknya. Beliau turut berkata bahawa USIM akan menjadi universiti terkenal menjelang 2025 dengan pelaksanaan intergrasi ilmu Aqli dan Naqli selaras dengan apa yang dikatakan oleh Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Asma Ismail dalam amanat beliau pada 20 Mac 2014. Pada masa yang sama, Dr. Azizi juga meminta agar pelajar-pelajar FPBU memartabatkan bahasa Arab. “Pelajar-pelajar perlu memartabatkan bahasa Arab.
Justeru itu, pihak Nadi Thaqofah perlu merancang dan mengadakan aktiviti-aktiviti untuk pelajar kita. Namun begitu, pelajar itu sendiri perlu memberi sokongan dengan menyertai setiap aktiviti yang dianjurkan oleh fakulti dan Nadi Thaqofah. Saya juga berterima kasih kepada semua yang hadir pada majlis ini dan berharap program seperti ini akan dianjurkan lagi pada masa akan datang,” jelas beliau.

Majlis ini merupakan anjuran bersama diantara pihak fakulti dan Nadi Thaqofah. “Majlis ini dikendalikan oleh exco kerohanian Nadi Thaqofah. Pengarah program merupakan ketua exco kerohanian, Mohd Baihaqi bin Muhamed,” ujar timbalan exco kerohanian Nadi Thaqofah.Nur Arif bin Md. Radzuan, pelajar tahun dua FPBU menyatakan bahawa program seperti ini wajar diteruskan kerana pelajar-pelajar terutamanya pihak Nadi Thaqofah, dapat meluangkan masa bersama dengan dekan fakulti, pensyarah-pensyarah dan kakitangan pejabat. Selain itu, beliau juga turut menjelaskan dengan adanya solat hajat perdana seperti ini dapat meningkatkan kerohanian diri.Majlis bertempat di tingkat empat, bangunan Tamhidi dan disertai oleh pelajar FPBU. Majlis mendapat sambutan yang memberangsangkan.
