COMMPRESS ONLINE
COMMITTED, CONCISE, CONVINCE
Festival nasyid cungkil bakat pelajar
OLEH NURSYAFIQAH ABD SAMAT
NILAI- Festival nasyid yang diadakan di Dewan Kuliah Utama (DKU), Fakulti Pengajian Al-Quran dan Sunnah (FPQS) pada 22 dan 23 April baru-baru ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan berikutan ramainya hadirin yang hadir pada kedua-dua malam tersebut.
Pertandingan nasyid ini terbuka kepada dua kategori iaitu wakil fakulti dan terbuka. Ini adalah untuk memberi pilihan kepada mana-mana kumpulan untuk membuat pilihan sama ada untuk mewakili fakulti atau terbuka. Ia juga bertujuan untuk menarik lagi ramai penyertaan daripada pelajar-pelajar USIM dan dimana banyak kumpulan telah mengambil bahagian dalam festival nasyid ini.
Program yang dianjurkan oleh Biro Kesenian dan Kebudayaan, Sekretariat Perhubungan Pelajar (SPP), FPQS disertai oleh 17 kumpulan yang mengambil bahagian.


Sebanyak 11 kumpulan daripada mahasiswa dan baki lapan kumpulan daripada mahasiswi. Hampir setiap fakulti mengambil bahagian dalam festival nasyid ini termasuklah wakil daripada FPQS sendiri dan lain-lain fakulti seperti Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), dan lain-lain fakulti lagi.
Menurut pengarah program, Muhammad Hazmi Haji Mian berkata, “Festival nasyid kali ini berbeza sedikit daripada sebelumnya. Hal ini kerana penyertaannya telah dibuka kepada semua mahasiswa dan mahasiswi semua fakulti diatas permintaan yang menggalakkan. Tidak seperti sebelum ini, penyertaannya hanya dibuka pada mahasiswi Fakulti Pengajian Quran Sunnah sahaja.”
Tambah beliau lagi, “Festival nasyid ini adalah antara salah satu medium untuk memperkenalkan lagi SPP, FPQS ini pada fakulti lain berikutan ia kurang dikenali di USIM. Selain itu juga, festival ini turut diadakan untuk mencari dan mencungkil bakat-bakat baru yang terpendam di kalangan pelajar USIM sendiri.
Kemuncak program apabila juri mengumumkan pemenang kategori fakulti dan terbuka. Bagi pemenang kumpulan lelaki kategori fakulti , tempat pertama berjaya digondol oleh FKP, tempat kedua oleh FPQS dan ketiga oleh FPBU. Bagi pemenang perempuan, tempat pertama jatuh kepada FKP, kedua FPQS dan ketiga FPBU.
Manakala bagi pemenang kumpulan lelaki kategori terbuka, Soutul Huffaz berjaya merangkul gelaran johan. Tempat kedua oleh Soutul Azim dan yang ketiga oleh Kaleefah. Bagi pemenang perempuan kategori terbuka jatuh kepada As-Saffa seterusnya Soutul Qolbi dan yang ketiga oleh Shoutul Huffaz.
